Aku perlukanMu
lebih dari perlunya sang kayu pada api yang menjadikannya arang
menyakitkan, biar seisi dunia memandang
biar mereka hairan, agar mata hati tidak lagi buta
dengan cintaMu aku ingin jadi permata
biarpun asalku cuma seketul batu yang berlumut kotor
Aku perlukanMu
seperti setianya pantai kepada ombak
masih di situ walaupun mula ditinggalkan
tetap menunggu ombak pulang walau tahu diri mula dilupakan
jangan Kau pergi dariku walaupun aku ini meletihkan
kerana undurMu turut membawa jiwaku pergi bersama
tinggallah cuma minda yang kering kontang
Aku perlukanMu
seperti bulan perlukan matahari
tika mentari mengalah pada bulan
bulan bersinar cantik dengan cahaya sang mentari
kuatnya mentari hingga bintang-bintang mengaku kalah pada bulan
aku pinta kekuatan itu dariMu
supaya jika akulah sang bulan itu
biarlah aku bulan yang memiliki dan mampu menyokong matahari kecilku
Aku perlukanMu
seperti pelangi perlukan hujan
sang rintik-rintik hadir dan berlalu membasahi bumi dan isinya
mengirim entiti yang unik buat sang pelangi
hingga bersuara seisi dunia
bilalah hujan akan sampai
kerana mereka ingin melihat sang pelangi
Ingin aku kabarkan kepada mereka
jika akulah sang kayu yang tiada berharga
nilai menjadi arang membebalkan aku dari rasa sakit
jika akulah ombak
walau ada yang membatasi, takkan aku lupa pada pantai
kerana akhirnya yang kasihan adalah aku
jika aku sang pelangi
jangan mereka dambakan aku
biar mereka memujaMu
kerana memujaMu itu cukup indah ya ALLAH
No comments:
Post a Comment