‘when the rain is blowing in your face…and the whole world is on your case…I could offer you a warm embrace…to make you feel my love’’
“Suara you macam Yunalis Zarai, serious
tak tipu… hmm gembira sangat ada orang yang nyanyikan untuk kita.” Aku masih
ingat pujian itu ketika pertama kali aku menyanyikan bait-bait lagu Adele kepadanya,
seolah-olah baru semalam berlaku. Itu luahan pertama aku padanya walaupun belum
sepenuhnya ikhlas, ketika itu sekadar untuk memenuhi permintaannya, tetapi
mengikut caraku sendiri.
Bodohkah aku kerana mati-mati ditipu? You’re not stupid but just inexperience. Ya, aku akui quote cinta si polan. Marah? Hanya
perasaan itu yang menguasai aku ketika ini. Merinduinya bermaksud ada rasa sayang,
ada rasa cinta. Menyayangi dia bermaksud seolah-olah aku mengkhianati diri
sendiri, dia tidak layak untuk itu, walaupun dalam angan-angan.
“Kau ok tak ni Mar?”
“Aku manusia pendendam Yan. Tapi kau jangan risau, hati aku sudah
tak tahu untuk bersedih.” Aku sudah kalis, kalis rindu seperti lagu Elyana. Mungkin
sebab dulu aku sudah biasa memendam rasa, setiap kali aku rindukan dia air mata
aku terlalu senang menitis, mungkin sekarang aku sudah bosan menangis atau pun
aku dulu sebenarnya keliru antara sayang dan sunyi. Aku tahu sia-sia menitiskan
air mata untuk seseorang yang belum halal tetapi kadang-kadang aku jadi manusia
yang pelupa dan alpa dengan nikmat Allah.
“Jangan Mar!” Larang Yani bila aku bercerita tentang dendamku untuk
membuka pekung dan aib lelaki itu kepada keluarganya. Aku beristighfar. Aku
manusia yang bermaruah, membuka aibnya seperti membuka aibku sendiri dan aku
tak sanggup meletakkan diri aku pada kedudukan yang lebih rendah dari lelaki
itu. Biarlah dia menjadi rahmat bagi keluarga dia dan kekal sebagai pengajaran
bagiku.
“Kau pencinta setia Mar. InsyaAllah akan datang lelaki yang terbaik
untuk kau, lelaki yang boleh memimpin kau ke syurga…hehe sebenarnya doakan untuk
aku sama ya.” Amin, aku tersenyum seraya menyambut gurauan Yani. Dia seorang
sahabat yang baik walaupun suka berterus terang dan agak gila-gila perangainya.
Kisah lelaki itu, hanya dia yang tahu selain Iz. Iz! Dia sudah dapat membaca
rentak lelaki itu. Dia sahabat yang aku abaikan, sahabat yang aku ketepikan atas
permintaan lelaki itu sendiri. Lama dia menyepi, mungkin sudah bosan mendengar
keluh kesah aku bercerita dan bertanyakan pendapat dia mengenai lelaki itu.
“Dia takut dengan aku. Dia takut aku jauhkan kau dari dia.” Seperti
mencurah air ke daun keladi. Aku pekakkan telinga, degil dengan andaian dan
telahan aku sendiri. Hanya lelaki yang memahami lelaki. Namun ketika itu aku memilih
lelaki itu berbanding kawan sendiri, alasannya dia katakan Iz mesti punya
perasaan terhadap aku. Bimbang aku lambat-laun terpikat sama. Masih
terngia-ngia nasihat Iz ketika dia masih belum bosan dengan karenah aku
“Kau
baru kenal dia jadi jangan terlalu jujur dan jangan terlalu berharap. Aku cuma
tidak mahu sahabat aku diapa-apakan, atau tepatnya dipermainkan.”
FIRASATKU
TERJAWAB
“Kau sedih Mar?” Aku tersenyum
memekakkan telinga. Aku tahu Yani sengaja buat-buat tanya tapi dia tidak
bermaksud untuk menambahkan lukaku.
“Aku bersyukurlah Yan.
Sekurang-kurangnya perasaan aku terhadap dia masih belum terlalu dalam. Aku
tahu Allah bukannya menghukum aku sekarang ni, mungkin Dia sedang persiapkan
diri aku untuk sesuatu yang lebih baik. Some
come into your life as blessing, some come into your life as lesson.”
Jika bukan kerana malam itu, mungkin pertemuan pertama tidak akan
menjadi pertemuan kali terakhir. Aku tak sanggup memikirkan kemungkinan
perjumpaan kedua walaupun itu yang aku harapkan sebelum malam tersebut. Masih
ingat lagi kerisauan dia kalau-kalau tiada lagi pertemuan seterusnya, “takut you yang tak nak jumpa I lagi.”
“Kat sini lah ya nanti?” Itu celoteh dia yang terakhir.
“Hah? Oh…InsyaAllah”
Aku yang mulanya tidak memahami gurauan dia
yang mendalam itu akhirnya tersenyum, tercuit dengan maksud lelaki itu yang
merujuk kepada masjid berhampiran taman perumahanku, yang selalu menjadi saksi
penyatuan dua jiwa. Mengimbau kembali saat pertemuan pertama, ada sedikit rasa
kekok baik aku mahupun dia namun masih ada gelak ketawa dan gurauan mesra.
Tetapi ada sesuatu yang tidak kena, ada sesuatu pada bahasa badannya yang tak
dapat aku tafsirkan. Hmm, mungkin dia malu dengan aku. Hanya andaian tersebut
yang bermain untuk mengusir tanda tanya.
Jauh di lubuk hati, ada benci dan simpati. Mungkin tiada maaf untuknya
selamanya. Benci dengan lelaki itu sehingga aku seolah-olah mahu dia merana di
atas perbuatan dia, simpati dengan nasib wanita tabah itu yang menanggung rasa
selama enam tahun. Mana mungkin tiada rasa resah, mana mungkin tiada rasa
gelisah di hati seorang anak Adam ketika dia menipu dan mengkhianati anak Adam
yang lain. Rasa bersalah? Hanya lelaki itu dan Allah yang tahu, tiada jawapan
dari pihak aku walaupun perasaan ingin tahu meluap-luap.
“Siapa montel?” Ah lawaknya.
Bukan lelaki itu tak biasa diejek montel, seperti dia suka menggelarkan aku bucuk. Aku suka memanggilnya montel,
semetelah dia pun ada iras-iras pelawak dan pelakon Afdlin Syauki katanya. Hujung
keningku hampir bertaut, aku yang sudah bersiap untuk tidur berasa hairan. Tangan
laju sahaja membalas mesej walaupun dia baru sahaja sarankan supaya tidur awal,
takut lewat bangun sahur katanya.
“Ini suami orang ni adik silap mesej ni. Ini isteri dia. Dia dekat
bawah. Adik cari lah facebook dia then it’s up to you nak percaya atau pun
tidak,” itu mesej terakhir yang aku dapat malam itu.
Gurauan malam itu keterlaluan bagiku. Lelaki yang baru melafazkan kata
cinta sebentar tadi tiba-tiba sudah punya isteri. Jika wanita itu isterinya, mana
mungkin dia boleh membalas mesej mesra untuk suaminya dengan begitu tenang. Tiada
maki hamun, dia nampaknya tenang sedangkan aku yang dihambat rasa dendam pada
malam 11 Ramadhan. Gambar-gambar lelaki itu bersama isteri dan anak tunggal di
laman sosial wanita tersebut menjawab semua persoalan dan rasa curiga yang
selama ini aku pendam semata-mata untuk menjaga perasaan yang baru berputik.
“Mohd Afifi Salleh, we need to talk.”
Walaupun aku tahu amat
tipis peluang aku untuk tahu alasannya tetapi sekurang-kurangnya dia tahu
tembelangnya sudah pecah. Sudah hilang you
dan I. Dia bukan lagi Ahmad Afifi Arfan
yang masih merahsiakan nama bapanya. Patut lah selama ini aku rasakan dia
seorang lelaki yang misteri. Dia cuma tahu berdiam diri, lebih selesa mengelak
seperti biasa. Mungkin dia sudah lupa bahawa aku ini perempuan yang
kadang-kadang agresif, degil dan kurang sifat sabar. Aku tahu tidak akan ada
jawapan darinya. Aku bukan manusia yang suka menunggu, lantas aku hantarkan
satu mesej panjang ke laman sosial isterinya.
HARI-HARI
PERTAMA
Hari itu hari pekerja. Bip. Telefon bimbit aku berbunyi
menandakan ada chat baru yang masuk.
Ada friend request, aku tekan butang
terima. Dia menghulurkan salam perkenalan. Tidak mahu dilabel sombong, aku sambut
salam tersebut. Ini perubahan yang ketara dalam diri aku semenjak tamat
pengajian prasiswazah bermula dua tiga minggu yang lepas. Aku bukan lagi seorang yang sombong, mungkin
kerana terlalu banyak masa luang. Dia lelaki yang sopan dan peramah, itu
tanggapan awal aku terhadapnya. Permulaannya sangat manis. Dia tahu apa yang
wanita mahukan. Kadang-kadang aku dihambat rasa takut, bimbang panas tidak
sampai ke petang sedangkan hujan turun di tengah hari.
“You ni macam player, sweet talker” kataku separuh menguji.
“Astaghfirullahal ‘azim.
Rasulullah pun sweet talker tapi
pencinta setia kan. Baginda tidak pernah menduakan Saidatina Khadijah. Saidatina
Aisyah pula digelar Humaira iaitu si pipi merah delima. Walaupun I tak mungkin sebaik Rasulullah, I akan cuba bahagiakan you seperti bahagianya Saidatina
Khadijah di samping baginda.”
Dia lelaki yang dihambat dengan
komitmen kerja, komitmen sebagai anak sulung dalam keluarga. Mungkin anak manja
seperti aku tidak dapat memahami sepenuhnya tanggungjawab yang digalasnya.
Namun aku tidak kekok untuk meluahkan rasa terabai, kadang-kadang memberontak
minta diberi perhatian. “I tujukan
lagu Ku Akui oleh Hafiz for you. Itu
luahan hati I, apa yang sebenarnya I mahukan ketika I sibuk bekerja. I tak
pernah berniat to ignore you, I pun sentiasa teringatkan you. Cuma bila bekerja I perlu laksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan kepada I supaya
rezeki itu halal untuk keluarga kita kelak.”
“You tak main-mainkan I
kan?” pernah aku ajukan soalan sebegitu.
“I ada you seorang sahaja.
I fikir nak call your parents minta kebenaran berkawan dengan you” Ada getaran pada suaranya saat dia mengakui aku kekasihnya.
Tapi cepat-cepat aku usir sangka buruk yang mula bertandang. Lebih-lebih lagi
bila mendengar gelak ketawa dia di corong telefon. Itu daya penarik dia. Suka
ketawa dan gelakkan aku, banyak mulut tak menang tangan aku melayan.
“Kalau nak kenal orang lelaki ni
boleh buat kawan ke tak, tengok cara dia bercakap dengan kita” itu pesan mama
kesayanganku. Itu juga jawapanku pada dia setiap kali dia bertanyakan ketulusanku
berkasih dengan dia yang tidak punya rupa yang menawan. Takut aku menyesal
katanya sedangkan aku mampu cari lelaki yang lebih baik dari dia. Dia akui yang
dia sudah dua tahun tak menyulam kasih dengan sesiapa, minta aku supaya
memahami dia yang tidak pandai mempamerkan perasaan sayang. Aku cuba memahami,
tetapi kadang-kadang rasanya aku seorang sahaja yang mencuba.
“Tak semestinya berkepit 24 jam
tetapi hakikatnya lelaki apabila dia sayangkan seorang wanita dia akan sentiasa
ingin dekat dengan wanita kesayangannya itu, ingin tahu apa yang wanita itu
lalui sehari-harian” itu pendapat Iz.
“Lelaki ada tiga jenis. Yang
tidak menyukai kau, sebetulnya dia akan menjauhi kau. Lelaki yang biasa-biasa,
tingkahlakunya jelas menyukai kau. Lelaki yang baik, bila menyukai kau dia
tidak betah mendekati kau walaupun dengan kata-kata jika belum bersedia untuk
menikahi” sambung Iza.
“Cuba bersangka baik terhadap
kekasihmu ini sayang. Tau tak Dr Hj Fadzilah Kamzah kata, selalu bersangka buruk
itu sebenarnya satu doa. Malah akan menjauhkan kita daripada orang yang
sayangkan kita” Ah, lelaki itu terlalu pandai berkata-kata, terlalu pandai
mencairkan api kemarahanku. Tidak rasa berdosakah dia? Tidak ada rasa
berdosakah dia pada wanita yang bernama Wan Fazlinda dan Affan, anak comel itu?
“I rasa you dah berubah
sekarang. How can I understand you better?”
Dia cakap aku suka merajuk, banyak syak wasangka terhadapnya apabila aku
luahkan sedemikian. Padahal aku sudah cukup berhati-hati dalam melontar pertanyaan,
takut pisang berbuah dua kali. Pernah dia minta untuk memutuskan hubungan,
tidak tahan asyik dituduh bukan-bukan. Rupanya dia cuma mencari alasan,
menunggu peluang untuk melepaskan diri. Patutlah begitu mudah bagi dirinya
ketika itu, cuma aku yang belum bersedia. Bila masa aku bersedia, ada sahaja
kata-kata dia yang membuat aku menarik balik niatku. Mungkin Allah nak
tunjukkan aku apa yang dia sembunyikan selama ini.
“Sayangku, fahami pencipta
dahulu barulah belajar memahami pencinta, sebab segala penyelesaian terletak di
tangan pencipta bukan pencinta. Bulan puasa seharusnya diisi dengan ibadat dan
amalan baik bukan terus diisi dengan pemikiran yang bukan-bukan. Kita nampak
kekurangan cinta pada manusia tetapi lupa pada cintaNya.” Memang bab berkata-kata
itu kekuatan dia, kataku pada dia.
“Bukan kekuatan, tapi cuma
luahan ikhlas pencinta kepada yang dicintai” balas dia
“Kau pernah tanya tak dia Mar
kenapa dia pilih kau? Aku rasa kau dah banyak berkorban perasaan untuk dia. Itu
tak baik untuk kesihatan emosi kau.” Aku tahu Yani, aku sedang mencuba untuk
berhenti berharap.
“Cara aku, lenggok percakapan
aku. Aku seorang yang manja, kadang-kadang sangat degil tapi kadang-kadang
sangat patuh. Unik tapi sentiasa ada kejutan setiap saat. Harapannya satu
ikatan yang sah dan halal hingga ke syurga” aku beritahu Yani setiap patah yang
aku dengar dari lelaki itu tanpa tokok tambah.
“Maksudnya kahwin?”
“Dia pernah cakap nak kahwin
dengan aku hujung tahun ni, cuma aku tak meletakkan harapan. Sebenarnya aku ada
ragu-ragu terhadap dia”
“Aku rasa kau patut lupakan dia,
kawan. Dia cuma akan mengheret kau ke lembah kehinaan. Seorang lelaki yang baik
selalunya menjaga dan menghormati” Aku sekadar mengangguk untuk tidak
memanjangkan perbualan lebih-lebih lagi setelah tiada yang aku sembunyikan dari
Yani tentang aku dan lelaki itu, tentang apa yang pernah berlaku sepanjang
perkenalan kami.
HARUMAN
KASTURI
Ramadhan sudah sampai ke fasa
ke-3. Cuma aku yang masih bertatih mengejarnya. Aku alpa sekejap mengejar cinta
manusia sampai lupa untuk mengucapkan selamat datang kepada Ramadhanul Karim.
Terasa sedikit tenang usai solat Asar tadi. Aku capai telefon bimbitku di atas
katil. Ibu jariku menari-nari di atas skrin sentuh Samsung Galaxy Ace. Yes, this
is the right moment. Aku buka fail lagu, mainkan satu rakaman buat kali
terakhir. Bukan sebagai pengubat rindu, tetapi sebagai kenangan terakhir supaya
aku tidak lupa sampai bila-bila. Lagu Selamat Ulang Tahun Sayang, awal-awal
lagi tidak selayaknya aku menerima rakaman hasil nyanyian daripada lelaki itu
sedangkan ulangtahun perkahwinannya hanya seminggu selepas dia menghantar
rakaman itu. Aku tekan butang padam, semua sekali yang berkaitan dengan lelaki
itu.
“Awak tahu? Kerana awak, isteri
dan anak saya lari dari rumah. Puas hati sekarang? Saya cuba hormat awak dengan
berdiam diri tapi awak dah runtuhkan rumahtangga saya. Awak memang melampau”
Itu mesej terakhir dari lelaki itu. Seolah-olah dia tidak terlibat langsung
dalam situasi ini, seluruh kesalahan diletakkan di atas bahuku.
“Dan janganlah seorang wanita meminta perceraian wanita lain untuk
menguasai sendiri nafkahnya atau untuk merosakkan kehidupan rumahtangganya.” Sambungan
Sahih Muslim bernombor 2533 yang aku baca semalam. Semenjak mengenali lelaki
ini aku menjadi seorang yang banyak membaca sampaikan dia pernah menggelarkanku
ustazah. Aku cuma mahukan hubungan yang diredhai Allah, salahkan jika aku
menegur ketika masing-masing tergelincir?
Bukan itu yang aku mahukan. Aku sudah bagi dia peluang untuk
menjelaskan hal sebenar tetapi dia diam. Diam bukan tanda hormat bagiku, diam
hanya untuk si pengecut. Ya, dia lelaki pengecut. Terlalu takut untuk angkat
kaki,mungkin sudah sebati dengan keseronokan yang hanya akan menghancurkan
rumahtangga sendiri. Aku bukan mangsa
pertama dia, kata wanita itu. Agaknya naluri bujang enggan berpisah dari lelaki
itu. Mungkin dia mahukan cabaran tapi dia lupa, rumahtangga bukan untuk diuji
tapi dijaga.
“Bukan saya seorang yang bersalah. Kalau belum nampak salah pada
diri sendiri, sampai bila-bila your wife
akan terluka hidup dengan awak dan awak juga mungkin akan kehilangan dia untuk selamanya.
Jangan suka salahkan orang lain apabila diri sendiri pun bersalah. Semoga awak,
isteri dan anak kembali bersatu. Saya tak dapat nak tolong awak melainkan diri
awak sendiri” balas aku, ada rasa menyampah dalam hati, lelaki inikah yang
pernah aku suka?
“Kakak lari dengan anak, tapi dia dapat cari tengah malam itu juga.
Dia sujud merayu jangan tinggalkan dia. Tidak mengapa dik, betul tindakan yang
kita buat. Lelaki kadang-kadang perlu diajar supaya menghargai.” Ya, setiap
wanita berhak bahagia. Aku berhak bahagia, wanita itu juga. Aku tidak malu
meminta maaf darinya kerana terlepas pandang kewujudan dia di sisi lelaki itu.
Firasatku, atas dasar cintalah lelaki itu tidak sanggup melepaskan isterinya,
dan doaku supaya cinta itu menjadi kekuatan dia untuk tidak mengulangi permainan
dan perbuatan khianat itu lagi.
Ini hadiah Ramadhan yang luar biasa, aku hilang cinta manusia supaya
merasa lebih dekat dan cinta pada pencipta. Rasulullah khabarkan bahawa orang
yang berpuasa itu mulutnya lebih harum dari bau haruman kasturi di sisi Allah.
Aku cita-citakan puasa yang sempurna sebagai hamba yang tidak puas mengejar
pahala Ramadhan, mahu jadi orang yang bertakwa di sisinya, supaya kegembiraan
masih bersamaku. Aku ingin kembali kepada fitrah, pada cinta Yang Esa. Sebagai
manusia yang jenih dan bersih hati dan akalnya. Cinta itu anugerah namun jika
engkar dengan anugerah itu, akibatnya boleh merosakkan emosi, fizikal, jiwa dan
akal fikiran.
“Kau tahu Yan? Aku pernah baca, kecewa dengan cinta ini sama
sakitnya dengan patah tulang, otak menunjukkan reaksi yang sama antara
keduanya. Mungkin cinta Ilahi lebih kuat sehingga aku tidak mengalami kesakitan
yang dicanang-canang oleh pengkaji Barat itu. ”
“Hah, inilah Marlisa yang aku kenal dulu. By the way, bila kau start
kerja nanti?”
“Esok” balasku, ada sinar baru di mata.
THE END
No comments:
Post a Comment