Alu-aluan



Kepada individu yang pernah atau sedang menumpang lalu di KETUPAT JANTUNG, saya dengan ikhlas ingin menyampaikan satu pantun dua rangkap:
~Ikan puyu empat samas, thank you very much~



Sunday, November 13, 2011

Anak bercorak Islam

Assalamualaikum 

***************************************************************************************

Hari ini geduk masjid berbunyi lagi. Jam menunjukkan sudah pukul 11 pagi. Pak Iman riuh memanggil orang yang hadir supaya bersedia. Kelihatan tiga kelibat pemuda masih pegun di atas bangku di bawah pokok ketapang di depan masjid. Seorang tunduk sambil sesekali menguis daun-daun kering dengan terompah jepun, yang dua lagi kelihatan asyik menghembus asap rokok ke udara sambil bersandar di batang pokok. Pak Imam terpandang, lantas menapak kearah tiga pemuda ini. 

"Anak-anak bertiga ni macam p.cik pernah jumpa, tapi maaflah p.cik pun macam dah lupa. Tak apa lah. Tak nak naik sembahyangkan jenazah ke? Ya lah kan, dah terlanjur datang, lagi ramai lagi elok."

"Si mati tu abah kami. Tak apa lah pak imam. Kami baru je sampai dari KL semalam. Pakaian pun tak sempat nak tukar lagi, seluar ni kotor skit."

"Oh, kalau macam tu kat dalam masjid tu ada tiga kain pelikat. Eloklah tu, cukup untuk kamu bertiga."

"Tak apa lah imam. Sebab kejap lagi nak kena tolong angkat periuk nasi dengan periuk gulai kat rumah. Nanti tak adalah lepas tanam jenazah nak kena tunggu lama nak bagi makanan."

"Itu kamu jangan risau, orang kampung ramai yang boleh tolong buat semua tu."

"Bukannya apa pak imam, saya sebenarnya tak mandi wajib lagi ni."

Pak imam beristighfar dalam hati, dalam diam dia menanam simpati pada nasib si mati yang menunggu jenazahnya di sembahyangkan.

(dipetik dari satu rakaman ceramah agama, dengan olahan tulen dari penulis)

******************************************************************************************

Nauzubillahi min zaalik. Sama-samalah kita doakan supaya nasib kita tak seperti nasib si mati seperti cerita berikut.

Saya selalu dengar, rata-rata pasangan yang sudah berumahtangga tak mahukan anak yang ramai, maksimum 5orang. Katanya zaman sekarang susah nak besarkan dan didik anak, terlalu banyak cabaran. Dulu atau sekarang mana pernah lekang dengan cabaran. Ya, memang susah tapi Islam telah mengajarkan caranya. Islam telah lama mengajar umatnya untuk mengelak dari menjadi golongan yang mandul. 

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : 'Tahukan engkau siapakah orang yang mandul?'

Berkata para sahabat : 'Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.'

Lalu Rasulullah SAW berkata : 'Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.'
(Maksud Al-Hadith )

Anak itu ibarat sehelai kanvas putih bersih, ibu bapa lah yang menjadi pelukisnya. Jika cantik lukisannya, maka tinggi nilai harganya. Jika hasilnya tercorot, alamatnya tempat lukisan itu hanyalah sesuai bersama-sama sisa-sisa terbuang.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itu peribahasa melayu ciptaan nenek moyang kita. Lihat, zaman sekarang bukanlah alasan yang konkrit.

Peribahasa arab mengatakan:
Mendidik anak yang kecil ibarat mengukir di atas batu, mendidik anak yang dewasa ibarat mengukir di atas air.

Jika mengukir di atas batu, walaupun susah namun tetap berhasil. Jika melentur buluh alamatnya patah. Itulah ibaratnya mendidik anak-anak. 



Anak-anak ini sejak dari dalam kandungan begitu sensitif. Dengan izin Allah mereka di dalam rahim si ibu dapat membezakan sama ada si ibu berada di dalam gelap atau cerah. 

Subhanallah, sebab itulah didikan itu perlu disediakan ketika mereka di dalam kandungan lagi. Didikan pada tahap ini bukanlah nak ajarkan anak itu A B C atau 1 2 3 tapi kenalkan mereka dengan cara hidup yang harmoni, cara hidup yang membesarkan Allah.

Kenalkan mereka dengan ayat-ayat al-Quran ketika mereka dalam kandungan lagi. Jangan jadikan 'tak pandai baca Quran' sebagai alasan. Zaman serba canggih, kalau tak mampu dapatkan iPod, pasang guna kaset pun dah cukup bagus. InsyaAllah, Allah permudahkan yang susah bila kita nekad berbuat baik kerana-Nya. 

Kalau si ibu asalnya suka mengumpat, tolonglah ubah perangai tersebut, bimbang nanti si anak yang lahir suka melelong-lelong cerita dan melaga-lagakan orang lain bila dewasa kelak. Jika pasangan suka bertengkak walaupun hanya disebabkan hal yang kecil, takut nanti anak yang lahir jadi kaki gaduh. 

Islam telah sediakan panduan dalam mendidik anak. Dari kandungan sebelum masuk 7 tahun, ajarkan mereka didikan yang tidak formal. Apa yang dimaksudkan dengan tidak formal? Ajar mereka  menjaga adab dengan individu yang lain, ajar mereka tentang sifat-sifat mahmudah, jadikan diri sebagai contoh kepada mereka, itu yang dikatakan pelajaran tak formal. Namun begitu, biarkan mereka melalui zaman kanak-kanak yang indah. Tak perlu bertindak macam diktator.
 
Masuk umur 7 tahun, didik mereka secara formal kerana pemikiran mereka sudah hampir 90% complete. Ajar mereka asas-asas fardu 'ain. Ajar mereka solat, puasa. Nasihat mereka elok-elok jika ada perlakuan yang kurang menyenangkan hati ibu dan ayah. 

Masuk 10 tahun, ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak  secara berpatutan yang mengajar jika mereka degil, enggan solat contohnya. Pemikiran anak yang normal bila mencapai 10 tahun dikatakan telah sempurna 100%. InsyaALLAH, mereka sudah boleh membezakan apa yang baik dan apa yang buruk, bergantung kepada cara didikan ibu bapa.

Islam sudah memperkenalkan caranya kepada kita, tinggal kita sama ada mahu mempraktikkan cara itu atau tidak. Kata orang, manusia yang sombong sesat jalannya

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...